1. Teknik tanpa-sedar
Teknik pertama ini melibatkan arahan pemotongan automatik (auto-deduction) yang mana tanpa kita sedar, sebahagian duit pendapatan akan ditolak untuk simpanan.
Untuk teknik ini, kita perlu membuka dua akaun; akaun pertama untuk menerima gaji/pendapatan manakala akaun kedua sebagai akaun simpanan.
Akaun kedua boleh dibuka dengan bank yang sama, ataupun bank yang berbeza daripada akaun pertama.
Sebaik-baiknya, kedua-dua akaun tersebut daripada bank yang sama untuk mengurangkan caj pemindahan wang dan caj-caj lain yang tersembunyi.
Jadi, apabila gaji diterima ke dalam akaun pertama, kita bolehlah memindahkan sebahagian duit ke akaun kedua sebagai simpanan.
Jika kita seorang yang berdisiplin dan yakin boleh memberikan komitmen penuh untuk membuat simpanan, pemindahan duit tadi boleh dilakukan sendiri secara manual atau online banking.
Tetapi, jika kita tidak yakin untuk berdisiplin, boleh membuat arahan pemotongan automatik kepada bank.
Cara ini lebih baik kerana simpanan akan dilakukan secara tetap dan konsisten tanpa perlu kita buat apa-apa pun. Dalam erti kata lain, tanpa kita sedar pun.
2. Dalam teknik ini, kita membuat sesuatu agar kita dipaksa untuk menyimpan. Kedengaran pelik?
Begini caranya. Melalui teknik ini, kita terlebih dahulu membuat pinjaman atau pembiayaan peribadi dengan bank.
Kemudian, duit tersebut terus disimpan ke dalam tempat yang kita berhajat untuk simpan (saranan saya Tabung Haji atau ASB).
Akibatnya, setiap bulan kita terpaksa memperuntukkan sebahagian gaji untuk dibayar kepada bank dan inilah dia simpanan kita. Ramai yang telah mengamalkan teknik ini, terutamanya menggunakan pembiayaan/pinjaman ASB atau lebih dikenali sebagai loan ASB.
3. Teknik bantuan ‘ceti’
Teknik ini bukanlah bermaksud kita meminjam dengan ceti. Sebaliknya, kita melantik seseorang untuk menjadi ‘ceti’; mengutip duit daripada kita dan menyimpannya.
Ataupun kita serahkan duit kepada seseorang yang kita pilih, dan minta beliau simpankan untuk kita. Teknik ini boleh dilakukan dengan rakan yang dipercayai, pasangan suami-isteri bahkan kekasih (untuk mengumpul duit kahwin). #PenulisanHA
Sumber: Hafidz Arif
Kongsikan Kepada Rakan Jika Ia Bermanfaat